Pengguna TikTok memfailkan saman terhadap kerajaan AS

外网TK资讯6个月前发布 Ming
331 0 0
Pengguna TikTok memfailkan saman terhadap kerajaan AS

Logo TikTok berlatarkan bendera Amerika Syarikat (AS) dan China. – Foto REUTERS

WASHINGTON: Sekumpulan pengguna TikTok hari ini memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar undang-undang memaksa pelupusan aplikasi video pendek yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika Syarikat (AS).

Mereka mendakwa, undang-undang yang ditandatangani oleh Presiden AS, Joe Biden, itu mempunyai ‘kesan yang mendalam terhadap kehidupan AS’.

Antara pengguna TikTok yang menyaman termasuk veteran Pasukan Marin Texas yang menjual produk ternakannya, seorang wanita Tennessee yang menjual biskut dan membincangkan isu keibubapaan dan seorang jurulatih kolej North Dakota yang membuat video ulasan sukan.

“Walaupun mereka datang dari tempat, kerjaya, latar belakang kehidupan dan fahaman politik yang berbeza, mereka berpandangan TikTok memberikan cara unik yang tiada gantinya untuk meluahkan pendapat mereka dan membentuk komuniti,” kata tuntutan mahkamah itu.

Firma guaman yang mewakili pengguna, Davis Wright Tremaine LLP, memberikan salinan tuntutan mahkamah kepada Reuters, yang dikatakan telah difailkan di Mahkamah Rayuan AS Daerah Columbia.

Rumah Putih enggan mengulas, manakala jurucakap Jabatan Kehakiman berkata undang-undang TikTok adalah untuk ‘menangani kebimbangan keselamatan negara yang kritikal dengan cara konsisten dengan Pindaan Pertama dan batasan Perlembagaan lain’.

“Kami berharap untuk mempertahankan undang-undang ini di mahkamah,” katanya.

Saman itu, yang menuntut pelepasan injunksi, berkata undang-undang itu mengancam kebebasan bersuara dan ‘mahu menutup saluran komunikasi peribadi yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan AS’.

Minggu lalu, TikTok dan syarikat induk di China, ByteDance, memfailkan tuntutan mahkamah yang sama, mendakwa undang-undang itu bercanggah dengan Perlembagaan AS atas beberapa alasan termasuk melanggar Pindaan Pertama yang melindungi kebebasan bersuara .

Undang-undang yang ditandatangani Biden pada 24 April itu memberikan ByteDance sehingga 19 Januari untuk menjual TikTok atau akur kepada larangan.

Rumah Putih berkata ia mahu melihat pemilikan berasaskan China ditamatkan atas alasan keselamatan negara dan bukannya mahu mengenakan larangan ke atas TikTok.

Undang-undang melarang kedai aplikasi seperti Apple, dan Google Alphabet, daripada menawarkan TikTok dan menyekat perkhidmatan hos internet daripada menyokong TikTok melainkan ByteDance melepaskan TikTok.

Mengikut saman pencipta, ‘TikTok pada masa ini mempunyai kira-kira 170 juta pengguna di AS dan denda untuk terus membolehkan akses kepada TikTok ialah kira-kira AS$850 bilion.

Saman itu menyatakan, dakwaan kerajaan AS bahawa undang-undang itu diperlukan untuk melindungi data rakyat AS adalah strategi yang sudah digunakan dan tewas sebelum ini.

Selain itu, kebimbangan yang dibangkitkan kerajaan AS adalah hanya sekadar spekulasi, malah jika benar sekalipun, ia boleh dikawal menerusi undang-undang khusus bagi menangani kepincangan sedia ada.

Pencipta TikTok, dalam tuntutannya minggu lalu, pelupusan asetnya kepada pelabur AS tidak mungkin berlaku, baik secara komersial, teknologi atau undang-undang… maka tidak syak lagi undang-undang itu akan memaksa penutupan TikTok menjelang 19 Januari 2025.

Persengketaan empat tahun dengan TikTok adalah medan penting dalam konflik berterusan mengenai internet dan teknologi antara AS dan China.

Pada April, Apple berkata China mengarahkannya untuk mengalih keluar WhatsApp dan Thread Meta Platform daripada App Store di China atas kebimbangan keselamatan negara China.

Biden boleh melanjutkan tarikh akhir 19 Januari selama tiga bulan lagi jika beliau berpendapat ByteDance sedang membuat kemajuan.

Kata pencipta TikTok, pasukan kempen pemilihan Biden sendiri menggunakan TikTok, malah timbalan pengurus kempennya berkata: “tidak masuk akal untuk hentikan mana-mana saluran di mana orang ramai mendapat maklumat mengenai presiden”. – REUTERS

文章来源:Berita Harian每日新闻

TKFFF公众号

扫码关注领【TK运营地图】

Pengguna TikTok memfailkan saman terhadap kerajaan AS

TKFFF合作,请扫码联系!

Pengguna TikTok memfailkan saman terhadap kerajaan AS
© 版权声明
广告也精彩

相关文章

暂无评论

您必须登录才能参与评论!
立即登录
暂无评论...